loader

Laporan SK@S 2024

Kekuatan Kami

  1. Berdasarkan aspek A1 (kekuatan kami), indikator menunjukkan prestasi yang baik. Namun, dari segi perjawatan ABM, sekolah masih mengalami kekurangan seorang guru PPKI.
  2. Bagi aspek A2, hasil pencerapan yang telah dilaksanakan menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dirancang dan dilaksanakan adalah mengikut ketetapan yang sepatutnya. Sekolah berjaya mencapai skor sebanyak 94.33%.
  3. Dalam aspek A3, yang melibatkan staf bukan guru, pihak sekolah menghadapi kekurangan seorang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) berdasarkan peruntukan perjawatan ABM semasa pengisian dibuat walaubagaimanapun kekosongan ini telah diisi dengan penempatan seorang AKP yang ditugaskan di bawak kelas PPKI.
  4. Dari segi prasarana akademik (A4) pula, sekolah mempunyai jumlah kemudahan yang mencukupi dan berfungsi dengan baik. Semua prasarana ini dimanfaatkan secara optimum bagi menyokong proses PdPc pelajar.
  5. Bagi aspek A5, yang merangkumi prasarana sukan dan kokurikulum, jumlah kemudahan yang disediakan adalah mencukupi serta digunakan dengan sebaiknya.
  6. Begitu juga dengan aspek A6 (Prasarana Hal Ehwal Murid), di mana jumlah prasarana yang tersedia adalah memadai berdasarkan jumlah enrolmen pelajar di sekolah ini.
  7. Dalam aspek A7, iaitu persekitaran digital, pihak sekolah masih menghadapi beberapa kekurangan, khususnya dalam prasarana internet dan jumlah peranti yang berfungsi. Liputan internet di sekolah hanya mencapai 30%, dengan jumlah skor sebanyak 1.5%. Selain itu, sebanyak 101 peranti berada dalam keadaan rosak, manakala hanya 50% peranti dapat digunakan, yang membawa kepada skor 2.47%. Kami yakin bahawa penambahbaikan terhadap kemudahan internet dan peranti ini akan memberi impak positif kepada keberhasilan pelajar.
  8. Aspek A8, yang berkaitan dengan asrama, tidak terpakai kepada sekolah ini kerana sekolah tidak mempunyai kemudahan asrama. Dalam aspek terakhir,
  9. Aspek A9 (Sokongan Ibu Bapa, Komuniti, dan Sekolah), sekolah memperoleh skor keseluruhan sebanyak 7.40%. Walaupun penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam program serta aktiviti sekolah masih kurang memuaskan (53.75%), dengan skor sebanyak 2.15%, pihak sekolah telah merangka pelbagai aktiviti untuk meningkatkan penyertaan ibu bapa dan penjaga dalam program sekolah bagi penilaian SKPM seterusnya. Secara keseluruhannya, meskipun kekuatan sekolah berada pada tahap memuaskan dengan pencapaian sebanyak 78.96%, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan. Pihak sekolah komited dalam menggarap potensi yang ada bagi meningkatkan keberkesanan PdPc serta prestasi pelajar. Sebagai langkah strategik, post-mortem telah dijalankan untuk memanfaatkan segala kekuatan yang dimiliki pada tahun semasa bagi mempertingkatkan prestasi pelajar dan sekolah secara keseluruhannya.

Pengurusan Kami

Secara keseluruhannya, pengurusan sekolah berada pada tahap yang baik dengan pencapaian skor sebanyak 92.35%. Kebanyakan aspek menunjukkan peningkatan yang positif, antaranya:

    • Pengurusan sekolah: peningkatan sebanyak 1.72%
    • Pengurusan kurikulum: peningkatan sebanyak 9.09%
    • Pengurusan kokurikulum: peningkatan sebanyak 5.64%
    • Pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc): peningkatan sebanyak 1.62%

Pelbagai perancangan dan inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah secara menyeluruh. Menjelang tahun 2025, pihak sekolah telah menetapkan sasaran pencapaian yang ingin dicapai. Oleh itu, sebarang kelemahan dalam aspek pengurusan diberi perhatian serius untuk memastikan pengurusan sekolah lebih tersusun, strategik, dan mampu memberikan impak positif terhadap keberhasilan pelajar.

Pencapaian Kami

Berdasarkan kekuatan yang tersedia serta pengurusan sekolah yang berkesan, pihak sekolah berjaya meningkatkan pencapaian Standard 5 yang merangkumi kemenjadian murid, pencapaian murid, dan prestasi sekolah iaitu dari 63.35% kepada 68.06% dengan jumlah peningkatan sebanyak 4.71% secara keseluruhannya. 

Penelitian secara terperinci bagi setiap aspek mendapati, aspek kemenjadian murid dalam akademik, mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak 9.49%, iaitu daripada 10.72% pada tahun sebelumnya kepada 20.21%. Peningkatan ini hasil daripada fokus pihak sekolah dalam melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara menyeluruh dan konsisten. Sehubungan itu, bagi tahun 2025, pihak sekolah telah menetapkan untuk terus memberi tumpuan terhadap kemenjadian murid dalam bidang akademik. Pelbagai strategi telah dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat awal tahun bagi memastikan visi sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik dapat direalisasikan.

Selain itu, kemenjadian sahsiah murid turut mencatatkan peningkatan daripada 19.02% kepada 19.16%. Pencapaian guru dan sekolah juga menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 7.87% kepada 8.87%.

Walau bagaimanapun, terdapat dua aspek yang mengalami sedikit penurunan. Pertama, kemenjadian dalam kokurikulum sekolah yang mencatatkan penurunan sebanyak 0.5%. Meskipun penurunan ini kecil, pihak sekolah tetap memandangnya sebagai satu isu penting. Oleh itu, pada tahun 2025, pihak pengurusan telah merancang pelbagai aktiviti dan menetapkan sasaran bagi meningkatkan pencapaian kokurikulum, khususnya dalam markah PAJSK pelajar. Sasaran utama yang telah ditetapkan adalah:

  • 80% pelajar memperoleh A dalam PAJSK
  • 85% GPS PAJSK
  • 90% kehadiran dan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum

Bagi mencapai sasaran ini, pihak sekolah telah menubuhkan pasukan jurulatih bagi setiap pertandingan yang disertai serta menyediakan jadual latihan berkala.

Selain itu, aspek pencapaian sekolah juga mengalami penurunan sebanyak 5.42%. Hal ini berlaku kerana pengisian SKPM pada tahun sebelumnya tidak sepenuhnya mengikut garis panduan yang ditetapkan akibat kekurangan pengetahuan mengenainya. Namun, pada tahun 2024, pengisian telah dilaksanakan mengikut prosedur yang betul, menyebabkan sedikit penurunan dalam pencapaian keseluruhan.

Sebagai langkah penambahbaikan, pihak sekolah telah menjalankan sesi post-mortem bagi mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan prestasi sekolah pada tahun 2025. Salah satu langkah yang telah diambil adalah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Angkat Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru. Sehingga kini, dua sesi perbincangan telah diadakan bagi membincangkan strategi peningkatan pencapaian sekolah, khususnya dalam aktiviti, program, dan pertandingan.

Secara keseluruhan, pencapaian sekolah bagi tahun penilaian 2024 berada pada tahap yang memuaskan. Dengan pelaksanaan strategi yang telah dirancang, pihak sekolah yakin prestasi ini dapat dipertingkatkan lagi pada tahun 2025.

Pencapaian 2023 vs Pencapaian 2024

Perbandingan % Pencapaian